RANHILL SAJ TERIMA TAULIAH SYARIKAT LATIHAN DALAMAN SISTEM LATIHAN DUAL NASIONAL

JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ Sdn.Bhd (SAJ) hari ini mencipta sejarah apabila Pusat Latihan Sg Layang kendaliannya menerima Akuan Pertauliahan Syarikat Latihan Dalaman Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen Kali Pertama anjuran syarikat operator bekalan air berkenaan.

Melalui program pensijilan SLDN ini, satu kaedah gabungan 30 peratus latihan teori dan 70 peratus latihan di tempat kerja yang merangkumi kompetensi teknikal, kompetensi pembelajaran serta kemahiran sosial dan kemanusiaan bertujuan melahirkan pekerja mahir terlatih dan berkelayakan bagi mempertingkatkan daya saing industri tempatan di pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif SAJ, Dato’ Ahmad Faizal Bin Abdul Rahman berkata, ”Program berfokus ke arah pengiktirafan tenaga kerja berkemahiran merupakan satu komitmen SAJ untuk memberi peluang kepada para anggota meningkatkan kepakaran, pengetahuan dan kecekapan dalam perkhidmatan dan operasi bekalan air setanding kelayakan akademik,”.

Selain itu, pada majlis yang sama turut menyaksikan seramai 15 graduan yang terdiri daripada pegawai dan penyelia menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 manakala 64 graduan yang terdiri daripada operator loji pula menerima SKM Tahap 2. Mereka merupakan anggota yang dinilai berdasarkan kepada Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) iaitu berasaskan pengalaman dan pencapaian selama menjalankan perkhidmatan di loji-loji rawatan air. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Dato’ Ahmad Faizal Bin Abdul Rahman, Pengarah Latihan Malaysian Water Academy, Dr. Hapidah Bte Mohamad dan Wakil Pengarah JPK Wilayah Selatan.

Bagi sesi 2017/2018 seramai 216 anggota akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) secara berperingkat. Ia merupakan satu platform menyuntik semangat dan mendorong anggota terbabit untuk terus maju dan menerima pencapaian terbaik. SAJ menyasarkan seramai 581 pekerja mahir sehingga tahun 2020.

Fakta Pusat Latihan SAJ:

Pusat Latihan Sg Layang kendalian Ranhill SAJ yang ditubuhkan pada tahun 1986 merupakan sebuah pusat latihan dalaman yang memberi fokus kepada program-program latihan dan pembangunan anggota-anggota SAJ dengan fasiliti-fasiliti yang mencukupi. Pusat latihan ini mempunyai bilik-bilik berbentuk kelas tutorial, bengkel dan seminar yang boleh memuatkan kira-kira 120 kapasiti duduk. Pusat latihan ini juga dilengkapi dengan bangunan asrama, ruang latihan berbentuk teknikal dan amali, ruang solat yang mencukupi, padang bolasepak, kolam renang dan tapak perkhemahan serta fasiliti aktiviti dalam hutan.

TAMAT